
Biasanya pada malam nisfu Syaaban, masjid-masjid dan surau-surau akan merayakan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu. Di beberapa tempat di negara kita, pada malam nisfu syaaban, orang ramai biasanya berkumpul di masjid-masjid dan mereka membaca surah Yasin bersama, kemudian melakukan solat sunat dua rakaat dengan niat panjang umur, solat sunat dua rakaat lagi dengan niat agar menjadi kaya dan tidak tergantung pada orang lain dan sebagainya. Setelah itu, mereka membaca doa yang panjang, iaitu doa yang dikhususkan bacaannya pada malam tersebut.
Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi, tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu Syaaban, dan semua hadis mengenainya bertaraf daif yang tidak boleh diamalkan. Walau bagaimanapun, terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu Syaaban yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulama, walau ia telah didaifkan oleh sebahagian ulama lain. Hadis tersebut ialah: ``Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia mengampuni semua hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang yang saling membenci).'' (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut (yang kadang-kadang ia seolah-olah diwajibkan) seperti kewajipan membaca Yasin sebanyak tiga kali, menunaikan solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.
Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah, ``Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negara orang Islam. Bahkan di sebahagian negara, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf (para sahabat, tabi`in dan tabi' tabi`in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.''
Inilah juga pendapat majoriti ulama seperti Sayyid Sabiq, Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya.
Begitu juga dengan doa khusus yang dibaca pada malam nisfu Syaaban, ia bercanggah dengan nas al-Quran dan hadis. Inilah pendapat yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi.
Justeru, daripada pandangan-pandangan ulama yang dikemukakan di atas, adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu Syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seumpama menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu Syaaban.
No comments:
Post a Comment